E-BUKU VS BUKU : TRANSFORMASI ERA DIGITAL DALAM PERPUSTAKAAN
E-BUKU VS BUKU:
TRANSFORMASI ERA
DIGITAL DALAM PERPUSTAKAAN
Mohd Izzul Ikhwan
bin Mohd Yusof
D20201095609
Profesor Dr. Amir
Hasan bin Dawi
Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI)
Tanjung Malim, Perak.
PENGENALAN
Keghairahan dalam
mengejar atau merealisasikan kehendak dalam dunia digital pada masa kini telah
memberi sedikit sebanyak kesan kepada pelbagai platform terutamanya platform
dalam mendapatkan maklumat. Ditambah lagi pada era pandemic covid-19 yang
melanda seluruh negara pada masa sekarang ini, pengguna sudah mempunyai batasan
untuk berkunjung ke pusat sumber atau perpustakaan untuk mencari maklumat menggunakan
buku bercetak. Hal tersebut akan menyebabkan pengguna akan lebih cenderung
untuk mendapatkan maklumat yang lebih pantas dengan menggunakan teknologi yang
sedia ada dan maklumat tanpa batasan melalui internet berbanding dengan kaedah
mendapatkan maklumat secara tradisional yang akan memakan masa dan agak
terbatas. Walau bagaimanapun, penggunaan e-buku ini tidaklah semudah mana yang
kita bayangkan disebabkan oleh e-buku ini mengandungi aturcara, format, dan
kaedah tertentu yang harus diketahui sebelum pengguna boleh memulakan pembacaan
daripada e-buku ini. Secara umumnya, pengguna haruslah mempunyai pengetahuan
asas terlebih dahulu sebelum menggunakan e-buku tersebut. Selain itu,
perbandingan, ciri-ciri, dan kekurangan buku dan e-buku perlu juga dilihat
sebagai faktor yang menyumbang kearah perubahan kaedah mendapatkan maklumat.
Sebelum
kita membahas dengan lebih lanjut tentang buku dan e-buku ini, kita perlulah
mengetahui konsep ataupun definisi kedua-dua platform pencarian maklumat ini
terlebih dahulu. Istilah buku boleh dirujuk sebagai helaian kertas berjilid
yang mempunyai tulisan dan sebagainnya untuk kegunaan dibaca atau yang
mengandungi ruangan kosong untuk ditulis [rujuk gambar 1] (Kamus Dewan,
2007). Manakala, istilah bagi e-buku atau buku elektronik ini ialah sejenis
medium penyampaian maklumat yang merujuk kepada penggunaan data digital
seakan buku yang mengandungi pelbagai maklumat dalam bentuk
teks, gambar atau kedua-duanya [rujuk gambar 2]. Terbitan sebegini boleh
dibaca menggunakan pembaca elektronik yang khusus namun
sebarang komputer dengan paparan atau skrin leper yang boleh
dilihat seperti komputer riba, komputer tablet dan telefon
pintar juga boleh digunakan (Wikipedia, 2019). E-buku ini juga terdapat
dalam bentuk berbayar dan secara percuma. Kebanyakkan e-buku ini didatangi
dalam pelbagai bentuk format antaranya ialah .htm, .txt, .docx, dan .pdf.
Selain itu, sebelum
saya meneruskan perbincangan tentang e-buku dan buku ini dengan lebih
terperinci lagi, izinkan saya menceritakan serba sedikit perbincangan awal
mengenai e-buku yang telah menjadi alternatif kepada buku bercetak ini. Menurut
Godwin-Jones (2003), e-buku telah menjadi alternatif kepada buku bercetak
bermula sejak 1990-an dengan terhasilnya peranti e-buku yang pertama. Walau
bagaimanapun harga peranti e-buku ini pada awalnya agak mahal tetapi ia masih
dianggap lebih murah berbanding dengan komputer riba pada zaman tersebut.
Dengan saiz yang lebih kecil, peranti tersebut mampu menyimpan banyak e-buku
berbanding dengan jumlah buku bercetak yang agak tebal dan berat untuk dibawa
kemana-mana dalam erti kata lain e-buku ini sama seperti perpustakaan mini bagi
pengguna tersebut. Sasaran awal e-buku adalah bagi golongan yang professional
kerana biasanya golongan ini merupakan kumpulan yang lebih banyak membaca dan
memerlukan capaian maklumat dihujung jari sahaja (Ellen, 2005). Oleh itu,
seiring dengan perkembangan e-buku ini, kita perlu mengetahui bagaimana
pengguna menggunakan teknologi e-buku ini. Adakah mereka selesa dengan
pengunaan e-buku ini berbanding dengan buku yang bercetak? Adakah ia masih
dipelopori oleh golongan professional sahaja atau tren penggunaannya sudah
berkembang kepada segenap lapisan masyarakat biasa?
Seterusnya, menurut
Schilit (1999), pengguna e-buku ini mempunyai dua ciri iaitu pembaca pasif atau
aktif. Pengguna pasif lebih cenderung dalam membaca dengan lebih santai seperti
membaca buku fiksyen, novel, komik, majalah, dan kumpulan berita sahaja.
Manakala berlawanan pula dengan pengguna aktif, pengguna aktif ini biasanya
melibatkan pemikiran kritikal seperti pembelajaran dan hendak membuat
keputusan. Ia juga termasuk dalam penglibatan pembaca semasa membaca seperti
mencatat nota dan menanda (highlight) fakta-fakta yang penting. Pengguna
aktif ini juga biasanya melibatkan pembacaan yagn melebihi dua mukasurat dan
pembaca perlu menyelak banyak halaman untuk mendapatkan maklumat yang
diinginkan. Fakta ini telah disokong oleh Zawiyah Baba (2008) yang menyatakan bahawa pengguna membaca untuk
tujuan yang berbeza iaitu untuk pengajian akademik, mengisi masa lapang,
hiburan atau bersantai, mencari maklumat, dan untuk menambah ilmu.
Menurut
kepada kajian yang dijalankan oleh Noorhidawati (2008) pula, faktor yang paling
popular pengguna lebih menggunakan e-buku berbanding buku bercetak ialah untuk
”mencari maklumat atau bahan yang relevan”. Ini bermaksud, e-buku tidak perlu
untuk dibaca secara keseluruhan, tetapi pengguna akan menggunakan e-buku ini
untuk membuat rujukan dalam penyelidikan mereka. Oleh itu, kita dapat
mengenalpasti bahawa penggunaan e-buku ini lebih popular dalam kalangan
pengguna aktif yang ingin mencari bahan dan maklumat yang relevan dan
penggunaan buku bercetak lebih popular dalam kalangan pengguna pasif iaitu
hanya untuk tujuan bersantai sahaja.
KELEBIHAN DAN KEKURANGAN E-BUKU
VS BUKU
Sudah terang lagi
bersuluh, e-buku lebih banyak mempunyai kelebihan berbanding dengan buku
bercetak kerana e-buku memberikan kemudahan kepada pembaca untuk membawanya
kemana sahaja tanpa menggunakan tenaga yang banyak berbanding buku bercetak
yang lebih sukar untuk dibawa dan lebih berat. Oleh itu, dengan adanya e-buku
ini, ia membolehkan kita untuk membudayakan budaya membaca dimana jua.
Ciri-ciri e-buku yang mudah seperti hyperlink dan
pencarian kata kunci dengan mudah mampu menjadikan e-buku sebagai rujukan yang
menarik untuk koleksi rujukan seperti kamus, ensaiklopedia atau buku teks.
Pengguna tidak perlu menyelak helaian demi helaian mukasurat dan mencari
sesebuah perkataan itu satu persatu. Contohnya, jika pengguna hendak mencari
perkataan “Sumber” pengguna perlu menyelak helaian yang bermula dengan
huruf “S” sahaja, seterusnya mencari “Sumb..” untuk membolehkan
perkataan “Sumber” ditemui dengan cepat dan mudah. Berbeza dengan
penggunaan e-buku atau lebih tepat lagi, e-kamus. Pengguna hanya perlu menaip
perkataan tersebut dan hasil carian boleh diperolehi dalam masa beberapa saat
sahaja.
Namun, disebalik kelebihan yang ada, e-buku juga
mempunyai beberapa kekurangan. Memandangkan e-buku mesti dibaca menggunakan
peranti tertentu, ia lebih terdedah kepada beberapa masalah teknikal.
Antaranya, kegagalan perisian berfungsi, serangan virus, ketiadaan bekalan
elektrik atau kehabisan bateri dan sebagainya. E-buku yang terdiri daripada
pelbagai format juga mungkin tidak dapat dibaca pada masa akan datang kerana
perubahan format. Format yang terdapat dalam e-buku tersebut akan dianggap
usang dengan adanya format baru yang lebih terkini dan sentiasa dikemaskini.
Sebaliknya, perkara ini tidak berlaku pada buku bercetak. Ia masih boleh dibaca
walaupun teknologi berubah.
MANFAAT DAN CABARAN
KEPADA PERPUSTAKAAN
Buku bercetak boleh
digunakan sebagai koleksi yang tak lapuk dek zaman. Walaupun ia memerlukan
banyak ruang simpanan, ia merupakan sesuatu yang perlu ada bagi mewujudkan
sebuah perpustakaan. Koleksi buku boleh sentiasa digunakan dan tidak bergantung
kepada perubahan teknologi. Contohnya, perisian pengoperasian Windows yang
dipasang dalam komputer perlu sentiasa dipertingkatkan seiring dengan
perkembangan teknologi. Dengan adanya versi terbaru, Windows 7, Windows 97 dianggap
ketinggalan zaman. Samalah juga halnya dengan e-buku yang akan berubah seiring
dengan perkembangan teknologi.
Perpustakaan juga mendapat manfaat daripada teknologi ini
buku yang berada dalam e-buku akan sentiasa tersedia dalam talian. Contohnya,
buku bertajuk Macroeconomics oleh Robert J. Barro yang diperolehi
melalui NetLibrary dicapai sebanyak 310 kali. Penggunaan tajuk sekerap ini agak
mustahil berlaku sekiranya buku tersebut dalam bentuk bercetak (Henke, 2003).
Namun, statistik yang diperolehi dari Perpustakaan Universiti Sains Malaysia
(USM) merekodkan 1,317,991 kunjungan pengguna sementara perkhidmatan sirkulasi
pula melibatkan pinjaman sejumlah 366,947 buah buku pada tahun 2009 (Laporan
Tahunan Perpustakaan, 2009). Ini menunjukkan satu angka yang tinggi dan
pengguna masih berminat untuk datang ke perpustakaan walaupun koleksi dalam
bentuk e-buku telah tersedia.
Penting untuk kita mengetahui sejauh manakah tahap
penggunaan e-buku yang dilanggan oleh perpustakaan. Adalah tidak bermanfaat
sekiranya perpustakaan hanya membekalkan keperluan tersebut tetapi tahap
penggunaan amat rendah kerana pengguna tidak biasa menggunakannya. Menurut
Zawiyah Baba (2008), cabaran kepada pustakawan adalah untuk menjadikan e-buku
dan peranti pembaca e-buku mudah didapati dan tersedia untuk digunakan dengan
memberi galakan serta tunjuk ajar kepada pengguna tentang cara penggunaannya.
Pengguna akan cara-cara penggunaannya, seterusnya menggunakan sepenuhnya
kemudahan yang tersedia serta mengenali kaedah yang lebih efektif untuk
membaca. Pustakawan juga harus memilih bukan hanya e-buku terbaik, terutama
buku yang tidak terdapat dalam koleksi perpustakaan, tetapi perlu memilih
perisian bacaan, peranti atau peralatan yang membenarkan pengguna memanfaatkan
sepenuhnya teknologi serta meningkatkan pengalaman pembaca.
KESIMPULAN
Perkembangan e-buku dalam
kepesatan pembangunan teknologi masih memberi ruang kepada buku bercetak untuk
terus berada di pasaran. Namun apa yang mungkin berubah adalah tren pasaran
buku bercetak rentetan daripada penggunaan e-buku. Apa yang dapat disimpulkan
di sini adalah, penggunaan buku bercetak dan e-buku saling melengkapi antara
satu sama lain kerana masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan
tersendiri. Kedua-duanya relevan untuk digunakan, bergantung kepada kehendak
dan citarasa pengguna itu sendiri.
Buku bercetak akan terus
menjadi sesuatu yang boleh dibangunkan sebagai satu koleksi. Contohnya, buku coffee
table tidak akan boleh diganti dengan menggunakan e-buku kerana ciri-ciri
buku tersebut membuat ianya unik. Walaupun maklumat dalam bentuk digital mampu
mengurangkan kos percetakan dan kertas, bagi sesetengah organisasi, penggunaan
bahan bercetak mampu mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi. Pun
begitu, kelebihan menggunakan bahan digital lebih terserlah dalam aspek
pengemaskinian maklumat. Contohnya, mengemaskini dokumen teknikal lebih mudah
sekiranya dokumen tersebut dalam bentuk digital. Ia tidak perlu dicetak secara
berulang, sekaligus mampu menjimatkan kos. Begitu juga halnya dengan buku teks
pelajar. Pelajar tidak perlu membeli buku teks yang baru setiap kali buku
tersebut dikemaskini. Apa yang perlu dilakukan hanyalah mencapainya dalam
talian dengan memuatnaik versi terkini. Ringkasnya, sama ada buku, mahupun
e-buku, kedua-duanya memberikan pengamalan dan nikmat membaca yang berbeza.
gambar 1
gambar 2
RUJUKAN
Nor
Hazidah Awang (2010), Buku Vs E-Buku: Transformasi Era Digital, Jurnal PPM,
Jilid. 4, 49-56, http://eprints.usm.my/33973/1/201003.pdf
Fakulti
Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi MARA (2013), Sentuhan Intelektual Membaca Karya-karya Besar, Jurnal
Peradaban Informasi Dan llmu, Jilid. 2, 69-78 & 105-106, https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/13895/1/AJ_ZAILANI%20SHAFIE%20INFORMIKA%2013.pdf
Ulasan
Catat Ulasan